JASIN – Lebih 20 orang menyertai demonstrasi bantahan secara aman yang
didakwa bagi membantah tindakan samseng penguat kuasa terhadap seorang
pelajar sekolah di depan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jasin,
baru-baru ini.
Pelajar sekolah itu, Ravee Tharan Jengathiswaran, 15, berkata, dia
ditahan oleh JPJ ketika memandu kereta bagi menghantar neneknya ke
Hospital Jasin dalam keadaan berpakaian seragam sekolah.
Menurutnya, dalam kejadian itu, dia ditumbuk di mulut oleh anggota JPJ
sehingga berdarah dan diarahkan melutut di atas jalan raya.
"Selepas memberhentikan kereta, secara tiba-tiba saya ditumbuk sebelum
ditarik keluar tanpa berselipar dan diarahkan melutut di jalan raya
sedangkan saya masih berpakaian sekolah.
"Saya juga disaman selain kereta turut ditarik oleh pihak JPJ,"
katanya. Jengathiswaran berkata, selepas kejadian itu dia membuat satu
laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin untuk tindakan lanjut.
Sementara itu bapanya, B Ravee Tharan berkata, laporan polis sudah pun
dibuat lebih seminggu tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan
diambil.
Menurutnya, dia tidak akan mengambil kembali keretanya di JPJ selagi perkara ini belum selesaikan.
"Saya tidak berpuas hati dengan apa yang penguat kuasa terbabit lakukan
kepada anak saya sehingga sanggup menumbuk kemudian memalukan dia dan
membiarkan anak saya dan neneknya berjalan kaki dari bulatan Pekan Jasin
ke Hospital Jasin.
"Apa yang berlaku begitu memalukan dan saya mahu membuat saman malu kepada mereka yang terlibat," katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian, nenek Jengathiswaran, Vijaya Letchumi,
59, terpaksa meminta tolong cucunya menghantar dia ke hospital kerana
mengalami sesak nafas dan turut terkejut dengan tindakan pegawai yang di
luar batasan itu.
Sumber : Sinar




No comments:
Post a Comment